Nurreez's Lurvely Lalink~>

Thursday, March 31, 2011

Part 12 ~ Andai Esok Hari Terakhirku...

ASsalam...hye..lama xupdate sambungan terbaru novel Nurreez ni kan..Bkn aper..Tragedi putus cinta baru-baru ni wat Nurreez tersedar n terkejut..Camni..Novel yang Nurreez karang ni sebenarnya dah lama. tapi, bile baca balik, citernya cam jadik kat Nurreez sendiri..Banyak sangat persamaan dengan ape yang tengah berlaku pada Nurreez sekarang..Adehh..Maybe sumer ni hanyalah kebetulan..tapi,kalu kite memahami apa itu Islam,tidak ada istilah kebetulan pun coz sumer yg terjadi adalah dalam pengetahuan Allah s.w.t. kan..Hurmmm...tak pe lah. Yang penting, serahkan segalanya pada Allah..Kerana sesungguhnya Dia lebih mengetahui..Baek,jom bace sambungan citer ni...read, feel, touched n enjoy guys..:))



Tok..tok...tok...Pintu bilik Hasya Alanna diketuk dari luar. Seketika kemudian, terjengul kepala si ibu di balik pintu dengan wajah keresahan bercampur teruja.
“Acha...Dah siap ka? Cepat sikit. Depa semua dah lama sampai tu. Kak Ngah pun, make-up Acha sikit-sikit sudah la...Kita nak mula dah ni.” Ibu Hasya Alanna kelihatan kelam-kabut. Dalam keluarganya, sememangnya panggilan ‘Acha’ sudah sebati dengan Hasya Alanna sedari kecil.
“Umi...sat..sat..kenapa Acha kena siap-siap, make-up semua ni? Siapa yang dah lama sampai? Kak Ngah pun bila Acha tanya, geleng aje. Acha tanya Achik, dia suruh tanya Bang Long. Bila Acha tanya Bang Long, dia geleng jugak. Bila tanya Adik, dia pulak yang tanya Acha balik. Tanya Bang Teh, lagi la..lari terus. Awat semua dah bisu kot?” Hasya Alanna menyuarakan kekeliruan dan kebimbangan kepada ibunya setelah adik-beradiknya yang lain seperti menyembunyikan sesuatu daripadanya.
“Cantiknya Mak Tam...Mama, Mak Tam nak kahwin ke?” Tiba-tiba si kecil, Husna Syakila, anak sulung kepada kakak Hasya berusia 5 tahun mencelah dalam suasana kelam-kabut itu.
“Adui...! Macam mana Husna terlepas masuk kat sini ni? Nanti Husna kacau mama nak make-up Mak Tam. Husna pergi la main dengan Afiq kat luar tu. Pergi duduk dekat papa ke...Ya, sayang..”
“Tak nak. Afiq curi coklat Husna. Husna tak nak main dengan dia. Husna nak tengok Mak Tam kahwin. Mak Tam cantik...”
“Husna...mai sini ikut Tok na. Tok ada coklat. Jom..ikut Tok jom.” Ibu Hasya Alanna, Puan Hasnah berjaya meloloskan diri tanpa menjawab soalan Hasya sebentar tadi. Hanya senyuman yang paling mekar terukir di bibir buat anak gadisnya. Sempat dikenyitkan matanya ke arah anak keempat dari enam orang adik-beradik itu sebelum beredar pergi bersama cucu kesayangannya itu.
“Kahwin..????” Tidak semena-mena terpacul perkataan itu dari mulut Hasya Alanna. Dia teringat kata-kata Husna, anak saudaranya itu tadi. Biar betul?
“Kak Ngah, baik Kak Ngah terus-terang dengan Acha. Apa semua ni? Kenapa Acha kena pakai baju macam orang nak kahwin ni? Acha kena kahwin paksa ka? Kenapa Umi dengan Abah buat Acha macam ni? Apa salah Acha, Kak Ngah?”
Aishah Humaira atau lebih mesra dipanggil Kak Ngah dalam keluarga itu terkedu melihatkan Hasya menitiskan airmata. Alamak...! Lain yang dirancang, lain pulak yang jadi ni.
“Acha, dengar sini. Umi dengan Abah bukan nak paksa Acha kahwin. Depa nak surprise kan Acha. Itu aje. Tu..tengok la siapa kat luar tu. Tu semua ahli rombongan meminang Acha la.” Aishah Humaira terpaksa membocorkan rahsia yang sebelumnya disimpan kemas seisi keluarga itu. Takut Hasya merajuk dan menolak pinangan orang tanpa berfikir panjang pula.
“Meminang Acha?...Acha?”
“Yela. Acha la. Siapa lagi. Tak kan meminang Kak Ngah yang dah kahwin, beranak 2 nak masuk 3 ni kot? Si Achik tu pun baru Tingkatan Lima Acha oi...”
“Siapa yang nak meminang Acha ni Kak Ngah?”
“Entahlah. Kak Ngah dengar umi cakap tadi, ahli rombongan tu cakap jejaka gentlemen yang meminang Acha tu kawan Acha kat universiti.”
Kawan kat Universiti? Aiman Heykal ke? Tapi teman lelakinya itu tidak pernah pula memberitahunya tentang peminangan ini.
“Acha usha-usha la tengok kat luar tu ha. Kot-kot ada yang Acha kenal. Adik-beradik dia ka? Mak ayah dia ka?” Aishah Humaira memberikan cadangan.
Sepantas kilat Hasya Alanna berlari ke arah pintu biliknya dan cuba memerhatikan ahli-ahli rombongan yang mungkin dikenalinya. Satu persatu wajah mereka dibelek.  Ada lebih kurang 15 orang semuanya. Semuanya Hasya tidak cam.
Eh, kejap...kejap. Bukankah itu Puan Rohanie dan Tuan Sheikh Abdullah? Mama dan papa kepada Aiman Heykal kan?..Dan di sebelah mereka pula kelihatan seperti ibu dan bapa saudara dia kan? Aku tak salah tengok ke ni?
Dibelek wajah mereka sekali lagi. Kali ini dengan lebih teliti.
Ya...Memang betul itu adalah ibu bapa serta Pak Ngah dan Mak Ngah Aiman Heykal. Biar betul? Benarkah Kal ingin meminang aku secepat ini? Belajar pun ada lagi 3 semester nak dihabiskan. Eh, itu aku. Tapi, Kal sekarang kan di tahun akhir pengajian. Semester depan adalah semester terakhirnya. Mungkin sebab itu dia nak mengikat tali pertunangan kot.
Tapi, kenapa dia tak berbincang dulu dengan aku. Tapi, kenapa mendadak sangat keputusan Kal? Tapi, kenapa nak bertunang sekarang? Tapi..Tapi...Aish...! Banyak pulak tapi, tapi...
“Arrgggghhhh.....Biar betul? Biar betul?”
“Apa yang biar betul, biar betul tu? Betul la Acha oi...Ha, ada tak siapa-siapa yang Acha kenal dalam rombongan tu?”
“A..a..da, ada...Kak Ngah...”
“Siapa?”
“Mama dengan papa dia...emak dengan bapa saudara dia pun ada sama...”
“Dia? Siapa dia tu?”
“Teman lelaki Acha, Kak Ngah...”

Hasya Alanna tidak senang duduk. Sekejap berdiri. Sekejap duduk. Sekejap berjalan. Sekejap berhenti. Sekejap ke depan. Sekejap ke belakang. Berpusing-pusing dia di dalam bilik itu. Tidak tentu arah.
“Adui...! Kak Acha ni kan. Selalu macam ni. Kalau panik aje, mula la nak tawaf ke sana ke mari. Tak boleh nak duduk diam. Naik pening kepala Achik ni ha. Duduk kat luar dengar Umi dengan Abah bermesyuarat dengan depa lagi best.”
“Achik jangan nak mengada-ngada na. Hang tu anak dara. Tak elok dok pi tersengih-sengih macam kerang busuk kat depan tu. Tu semua kerja orang tua. Hang duduk sini. Teman Kak Acha hang ni. Nanti giliran hang kena pinang, entah-entah lagi teruk dari dia.” Aishah Humaira, anak kedua dan juga anak perempuan sulung dalam keluarga itu menasihati Hani Aafiya atau lebih senang dipanggil Achik itu.
“Ala, Kak Ngah ni. Achik bukan apa. Tengok Kak Acha pi mai...pi mai..sat tang ni, sat tang tu...Achik pening la.”
“Hmmm...! Betul tu Acha. Cuba bawak bertenang sikit. Kak Ngah dah tak larat nak touch-up make-up Acha tu. Sini. Duduk sini. Ambil ayaq ni, tarik nafas, baca Bismillah, selawat tiga kali lepas tu minum. Bagi hilang sikit rasa gemuruh tu. Awat yang hang dok kalut sangat ni...”
Setelah itu, Hasya Alanna meneguk air kosong tersebut sesudah mengucap selawat sebanyak 3 kali seperti yang disuruh oleh kakaknya. Barulah dia terasa tenang sedikit dan berhenti mundar-mandir di tengah-tengah bilik itu. 
“Acha...Acha terkejut la Kak Ngah. Acha tak tau nak buat apa sekarang ni. Tak tau nak fikir apa.” Hasya Alanna menyuarakan rasa hatinya ketika itu. Dia betul-betul tidak percaya bahawa Aiman Heykal benar-benar serius dengan perhubungan yang dijalinkan mereka selama ini. Hari ini genaplah setahun hubungan mereka. Mungkin juga inilah hadiah paling berharga yang selalu diuar-uarkan oleh Aiman Heykal kepadanya kebelakangan ini. Hadiah ulangtahun percintaan mereka yang pertama.

“Sya...lagi seminggu aje lagi kita nak sambut anniversary kita yang pertama kan...”
“Ha’a la Kal. Seminggu aje lagi. Cepat kan. Tiba-tiba dah setahun rupanya. Sya rasa tak sabar pulak...hihihi..”
“Kal pun tak sabar-sabar nak tunggu tarikh tu sebab Kal dah sediakan hadiah yang paling best untuk Sya tau.”
“Hadiah? Kal nak kasi hadiah apa? Cakaplah...Cakaplah...”
“Eh, kalau nak tau kena la tunggu tarikh tu dulu. Kalau tak, tak surprise la. Hadiah ni adalah hadiah yang paling bernilai dan istimewa untuk Sya aje tau. Mesti Sya terkejut besar nanti. Percayalah.”
“Asalkan hadiah tu bukan satu bebanan untuk Kal, Sya pasti akan suka dan terima dengan besar hati...”
“Hadiah untuk abang sayang awak ni tak ada ke? Hihihi...”
“Tak ada. Sya kasi hadiah senyuman aje, boleh? Hahaha...”
“Hai, hadiah senyum aje!? Hmmm...Senyum pun jadilah Sya. Lagipun, senyuman Sya memang manis. Kiranya, hadiah paling manis untuk Kal jugak la. So, Sya dah tak boleh senyum-senyum kat lelaki lain dah. Senyuman Sya akan jadi milik Kal. Bagus jugak tu...hihihi...”
“Tengok tu. Sya main-main aje lah. Sya pun ada hadiah special untuk Kal. Kalau senyuman Sya ni reserved untuk Kal seorang aje, nanti jatuhlah saham Sya.”
“Apa ni. Main saham pulak dia. Tak ada. Tak ada. Kal akan beli semua saham Sya tu. Biar Kal seorang aje jadi pemegang sahamnya. Okey, sayang?”
“Eiiiii...Kal ingat saham Sya murah ke? Mahal tau. Mahal sesangat. Hihihi...”
“Ah...mahal mana pun, Kal sanggup Sya...”
“Kenapa?”
“Sebab sayang Kal pada Sya lebih daripada nilai wang ringgit. Lebih dari segala harta yang Kal ada sekarang. Kal sanggup lepaskan apa saja asalkan Sya bersama Kal.”

“Acha...Acha...hoi...Acha...!” Aishah Humaira memanggil-manggil sambil mengibas-ngibas tangan di hadapan adiknya itu.
“Ha??? Kenapa Kak Ngah? Kucing kita mati ka?” Tiba-tiba itu pula yang terkeluar dari mulut Hasya Alanna.
Aduh...! Parah ni. Entah sampai ke manalah budak ni dah mengelamun agaknya. Entah-entah satu apa pun dia tak dengar aku membebel dari tadi. Buat penat aje. Aishah Humaira mengomel sendiri.
“Astagfirullah Hal Azim. Bila pulak la si Montel tu mati Acha oi. Tu, Umi tanya tu. Acha terima tak pinangan...ala, apa nama dia tadi? Iman ka Aiman...ala, kira sama la tu. Man jugak bunyinya...Sya terima tak?”
“Ha? Apa dia Kak Ngah? Terima apa?”
“Isy! Hang ni kan Acha. Nak mengelamun pun time macam ni. Acha terima tak pinangan ni? Depa kat luar tu dok tunggu jawapan Acha tau. Umi pun tengah tunggu jawapan Acha ni. Cepatlah.”
“Acha...Umi dengan Abah tak paksa Acha untuk terima atau tolak pinangan ni. Lagipun, Acha sendiri pun dah tau siapa yang meminang Acha ni kan. Kak Ngah pun dah terangkan panjang lebar kat Acha tadi. Acha buatlah keputusan sebaik-baiknya. Umi dengan Abah tak ada halangan. Asalkan Acha bahagia, itu dah cukup buat kami.”
Ibu Hasya Alanna menerima apa sahaja keputusan yang bakal dibuat oleh anak gadisnya itu. Dia tahu Hasya Alanna pastinya telah mengenali hati budi lelaki itu memandangkan wakil rombongan itu tadi memberitahu bahawa mereka berdua memang berkawan di Universiti...dan daripada gerak lakunya, Puan Hasnah sedia maklum bahawa Hasya sememangnya teruja dengan peminangan ini. Sekarang, terpulanglah kepada Hasya sendiri untuk menentukannya. Puan Hasnah dan suami, Encik Ahmad Kamil sedia merestui walau apa pun keputusan Hasya Alanna.

“Tapi, Umi...Acha tak habis belajar lagi. Ada lagi 3 semester. Acha pun muda lagi. Umi tak kisah ka Acha bertunang sekarang?” Hasya Alanna masih lagi ragu-ragu.
“Acha, Acha ingat tak dulu Bang Long kahwin masa umur dia berapa?  21 tahun tau. Waktu tu dia masih lagi belajar kat oversea. Umi dengan Abah tak halang pun. Kak Ngah ni lagi la. Baru umur 20 tahun dah kahwin. Waktu tu kan Kak Ngah tengah belajar kat Maktab Perguruan. Umi dengan Abah restu aje. Bang Teh Acha tu aje yang dah banyak kali bertunang, putus, bertunang, putus. Tapi, Umi dengan Abah tak pernah campur tangan dalam setiap keputusan dia. Dia yang tentukan sendiri. Jadi, sekarang giliran Acha pulak untuk buat keputusan tentang masa depan Acha. Apa yang baik pada Acha, baik lah jugak pada Umi dan Abah.” Puan Hasnah memberikan nasihatnya.
Dia dan suami sememangnya tidak pernah mengongkong setiap keputusan anak-anak mereka selagi ia tidak menyalahi syariat agama. Setiap seorang daripada anak-anak mereka telah diberikan didikan dan pengetahuan tentang ilmu agama secukupnya. Disebabkan itu, mereka memberi sepenuh kepercayaan kepada anak-anak untuk memilih sendiri jalan hidup mereka. Apa yang baik, mereka akan merestui dan apa yang buruk mereka akan nasihati. Segala-galanya terpulang kepada diri mereka sendiri. Inilah cara Puan Hasnah dan Encik Ahmad Kamil untuk mengajar anak-anak mereka supaya lebih bertanggungjawab dan matang dalam membuat keputusan. Kini, tibalah giliran Hasya Alanna pula untuk membuat keputusannya sendiri. Mencari tanggungjawab dan kematangannya sendiri.
“Kalau Umi dan Abah merestui...Acha terima, Umi. Acha terima pinangan ni. Terima kasih Umi. Acha sayang Umi dengan Abah sangat-sangat.”
“Hai, sayang Umi dengan Abah aje ka!? Ni kita orang ni, Acha tak sayang? Acha tak mintak restu dari Bang Long, Kak Ngah dengan Bang Teh lagi tau.” Haris Affan, anak sulung dalam keluarga itu tiba-tiba mencelah sambil mengenyit matanya kepada adik-beradiknya yang lain. Mahu mengenakan Hasya lagilah tu.
“Eh, sejak bila pulak hang pa semua tiba-tiba dah dok tercongok depan Acha ni? Hihihi...Yela. Acha sayang semua. Acha sayang Bang Long, Kak Ngah, Bang Teh, Achik dengan Adik sangat-sangat. Ala, kalau bab restu tu, Acha dah tau...mesti semua dah restu kan. Kalau tak, tak ada la masa Acha tanya tadi semua buat-buat tak tau aje kan. Nak sorok-sorok konon. Nak surprise-surprise konon.”
“Along, sudah-sudah la tu menyakat Acha. Sat lagi dia ubah keputusan, haru kita. Jom keluar. Tak elok biar depa tunggu lama-lama. Umi nak bagi tahu Abah, Acha terima pinangan depa. Sat lagi boleh sarung cincin.”
Puan Hasnah cepat-cepat kembali ke ruang tamu dan memaklumkan kepada rombongan peminangan tersebut tentang persetujuan Hasya Alanna itu. Tidak lama selepas itu, Puan Faridah iaitu Mak Ngah kepada Aiman Heykal dibawa masuk ke dalam bilik Hasya Alanna dan menyarungkan dua cincin ke jari gadis itu. Dua cincin yang mewakili majlis merisik dan pertunangan yang dijalankan serentak. Hantaran-hantaran dari pihak lelaki juga dibawa masuk sejurus selepas Puan Faridah menyarungkan cincin tersebut. Ada tujuh hantaran semuanya. Hasya Alanna kemudiannya diminta keluar untuk bergambar bersama ahli-ahli rombongan dan keluarga pihak lelaki. Namun, Hasya dapat melihat dengan jelas kesuraman pada wajah Puan Rohanie, mama Aiman Heykal.
Kenapa Puan Rohanie macam tak gembira aje? Dia tak suka aku bertunang dengan Aiman Heykal ke? Rasanya masa aku pergi rumah dia dulu, dia layan baik aje. Tak ada pulak nampak dia tak suka...Tapi, tadi pun bukan dia yang sarungkan cincin kan? Mak Ngah Kal pulak yang sarungkan. Hmmm...! Mungkin dia memang tak sukakan aku kot. Aduh! Susahlah macam ni...Hasya Alanna bermonolog sendiri.

“Yang pihak lelakinya tak mau bergambar ka? Suruh la dia masuk. Majlis dah habis dah. Kalau dia nak bergambar dengan Acha pun boleh.” Encik Ahmad Kamil mempelawa.
“Alamak. Nak kena bergambar dengan dia ka? Ala...! Acha malu la Abah.” Perlahan-lahan Hasya Alanna berbisik ke telingan ayahnya.
“Bergambar aje pun Acha. Tak apa. Kalau segan nak tangkap gambar kat sini, pi masuk bilik tu. Tangkap gambar sekali dengan hantaran. Ateh, hang pi tangkap gambar depa dalam bilik tu sat. Abah nak pi jemput tunang Acha ni ha. Lepas tu nanti Abah suruh dia masuk pi tangkap gambar. Acha tunggu aje. Abah nak jugak tengok macam mana la rupa buah hati Acha tu...okey?”
Okey, Abah. Jom Acha. Bang Teh nak capture gambar yang terbaik. Mesti Acha puas hati la. Jom.” Kata Ameer Huzairi seraya menarik tangan Hasya Alanna.
“Acha duduk la diam-diam. Abang nak cari shoot yang menarik ni.”
“Acha duduk diam-diam la ni. Bang Teh tu yang tak pandai nak tangkap gambar. Pegang kamera pun terkial-kial. Arkitek dengan fotografi jauh beza la Bang Teh. Lupakanlah hajat nak jadi photographer tu.”

Tiba-tiba.....
“Assalammualaikum. Hai..! Boleh saya masuk?” seorang lelaki lengkap berpakaian Melayu melangkah masuk ke dalam bilik itu.
“Waalaikummussalam....Eh, awak...!? Apa awak buat kat sini?” Hasya Alanna sedikit terkejut dengan kehadiran lelaki itu.
“Hmmm....Hmmm....Abah awak suruh saya tangkap gambar dengan awak...sebab...sebab tu saya datang.” Lelaki itu tergagap-gagap. Terpegun tatkala menatap wajah gadis pujaannya itu. Cantik dan manis sekali. Tidak pernah dia melihat Hasya Alanna secantik itu.
“Ha!? Kenapa pulak saya kena bergambar dengan awak?” Hasya Alanna mula terasa pelik.
“Acha...Acha ni kenapa? Memang la Acha kena bergambar dengan dia. Kan dia sekarang ni dah jadi tunang Acha. Tula, dari tadi asyik mengelamun aje. Dah bertunang pun boleh lupa. Tak faham la Kak Ngah.” Aishah Humaira mencelah. Geram melihat adiknya seakan-akan tidak menyenangi kehadiran tunangnya itu.
“Di...Dia...tu..tunang Acha??? Tapi bukan ke...bukan ke...”
Pandangan Hasya Alanna semakin kabur, kabur dan kabur...dan akhirnya, segalanya bertukar menjadi gelap gelita.


Walau cintamu untukku telah lama pergi...
Ku kan tetap menanti ia kembali...
Kerna dalam setiap doa dan mimpi...
Kaulah takdirku di syurgawi....

~end of part 12~

2 comments:

b.r.u.t.a.l.s.o.l.o said...

salam
ada jual lagi tak buku certa yg ni..mana mau cari

Nurreez Nurizan said...

wasalam..
oh..novel ni saya karang sendiri..tak publish/jadikan buku lagi..coz masih dalam proses nak siapkan..just follow my blog la ek tok ikuti sambungannya..
tq..:))

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...